21 Mei 2015

Bukan kerana Aku Benci Malaysia

Kita bising sara hidup naik bukan kerana kita benci Kerajaan Malaysia.
Kita bising sara hidup naik bukan kerana kita tak mampu bayar.
Tapi... Kita bising sebab janji tak serupa bikin. Kita bising sebab kesiankan rakyat marhaen. Memang kita berduit. Memang kita berharta.
Namun, jauh di pelusuk sana, ada yang menghitung syiling.
Ada yang bekerja teruk terkontang kanting. Mereka tak ada slip gaji. Jauh sekali socso mahupun kwsp.Kerjanya keluar pagi balik dinihari.
Dan kalian pula berbicara indah persis pujangga metropolis? Itu pun nak bising? Kerja lah lebih kuat lagi? Beribadatlah lebih lagi? Untuk dimurahkan rezeki?
Ya... Sembang kalian sembang mereka yang berharta. Sembang kalian sembang orang yang penuh wibawa.
Sedangkan ada mereka yang facebook pun tiada. Motor buruk hanya tunggu masa.
Kerja lebih kuat dari si sarjana muda.
Kerja lebih ikhlas dari si phd mahupun master.
Hanya untuk mulut mereka sekeluarga.
Ya.. Mereka tak berharta. Salah mereka kerana tidak berusaha di zaman muda.
Tapi adakah kita berilmu untuk menjadi penindas mereka?
Kalau itu sistem kehidupan. Aku rela jadi bodoh dari kalian.Kerana aku taknak hilang perikemanusiaan.

05 Mei 2015

KEMALANGAN DI DUKE : MENGAPA PILIH SIVIL BERBANDING SYARIAH?


1) Semua lapisan masyarakat Malaysia melahirkan kesedihan terhadap insiden kemalangan maut yang menimpa sebuah keluarga di Lebuhraya Duke semalam. Kemalangan yang menyebabkan kematian suami isteri beserta seorang bayi berumur 7 bulan. 

2) Yang menjadi kemarahan awam adalah apabila dilaporkan bahawa kemalangan tersebut adalah disebabkan berlaku perlumbaan haram antara 6 buah kereta Myvi di tempat kejadian. Apa yang perlu kita fikirkan juga adalah bagaimana nasib 2 orang lagi anak mangsa yang masih lagi kecil untuk meneruskan kehidupan mereka di dunia ini tanpa tanggungan ibu bapa disisi.

3) Jika diteliti undang-undang Sivil, diperuntukkan di bawah Seksyen 41 yang pesalah hanya dikenakan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih sepuluh tahun. Serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM10,000 dan hilang kelayakan daripada memegang lesen memandu selama tidak kurang dari tiga tahun.

4) Akan tetapi, keluarga mangsa tidak dapat pembelaan yang sewajarnya samada pampasan daripada penjenayah dan sebagainya. Bahkan, denda yang dikenakan kepada penjayah tersebut hanya diberikan kepada kerajaan bukannya kepada keluarga mangsa. Melainkan perlu melalui tuntutan file di mahkamah yang sudah pasti akan melalui prosedur dan kos yang berlainan.

5) Ia sangat berbeza dengan ketetapan yang telah ditetapkan di dalam Undang-undang Syariat dalam menyelesaikan kes ini. Dalam Islam, sebarang jenayah pembunuhan seakan-akan sengaja (Shibhu 'amd) tanpa niat, diwajibkan kepada penjenayah untuk membayar diyaat (Ganti rugi) kepada keluarga mangsa bukannya kerajaan.

6) Jika dibuka di dalam kitab-kitab fiqh seperti Fiqh Islam wa Adillatuh, Syeikh Wahbah Zuhaili menyebut bahawa diyaat yang dikenakan kepada jenayah pembunuhan tanpa niat (Dalam konteks kes ini) adalah diyaat mukhaffafah (Diyaat ringan), iaitu 100 ekor unta yang dibayar secara beransur-ansur selama 3 tahun dan setiap tempoh masa satu tahun dibayar 1/3 diyaat.

7) Walaubagaimanapun para ulama’ berpendapat boleh menggantikan 100 ekor unta dengan harta yang senilai dengannya pada masa tersebut. Diantaranya ialah:
a. Wang Emas – 1,000 dinar
b. Wang Perak – 10,000 dirham
c. Lembu – 200 ekor
d. Kambing – 2,000 ekor
e. Persalinan – 200 persalinan lengkap.

Kadar seekor unta misalnya RM4,000 maka jumlah satu diyaat penuh ialah RM 400,000. Manakala jika seekor lembu RM2,000 maka satu diyaat penuh ialah RM400,000. Begitulah nilai semasa satu diyaat penuh. 

8 ) Cuba bayangkan jika di dalam kes ini yang menyebabkan kematian seramai 3 orang, maka penjenayah perlu membayar ganti rugi tersebut kepada waris mangsa dalam kadar 3 kali ganda daripada kadar diyaat asal iaitu dalam kiraan kasar adalah lebih kurang RM1.2 juta.

9) Disinilah dapat kita teliti rahmatnya undang-undang Syariah Islam berbanding undang-undang Sivil kerana ia bukan sahaja dapat menjatuhkan hukuman kepada penjenayah akan tetapi dapat membela waris mangsa dengan sewajarnya. Syariat ini jelas membawa rahmat dan kesejahteraan kepada alam keseluruhannya.