21 Julai 2011

Bersih & Nakba orang Melayu


Maka pada pagi yang mulia ini hamba pun pergilah mengambil bulu ayam dan dakwat untuk mencatatkan surah ini agar anak cucu-cicit kita nanti tidak akan tertanya-tanya; agar cucu-cicit dan piut kita tahu apa yang telah berlaku pada hari Sabtu 9 Julai 2011 di kurun masehi ke-21 ini.

Biarlah hamba menjadi tok perawi yang sahih, membawa kisah dari mulut ke mulut agar menjadi ajaran dan pedoman kepada cucu-cicit kita yang akan datang. Yang busuk kita tanamkan hendaknya dan yang bersih kita kisahkanlah hendaknya. Amin.

Wahai anak cucu-cicit sekalian, kisahnya bermula dari sini:

Di negeri Arab Palestin berlaku Nakba pada 15 Mei 1948 apabila kaum Zionis dari Eropah datang dan menghalau Arab Palestin dari tanah air mereka. Meleleh air mata orang Palestin melihat tanah-tanah mereka dirampas dan diduduki oleh kaum Zionis.

Kesedihan orang Palestin itu kita rasakan sama kerana kita pula di Tanah Melayu ini telah juga mendapat Nakba atau malapetaka pada 31 Ogos 1957 apabila penjajah British meninggalkan tanah air kita ini kepada gerombolan United Malays National Organisation dan suku-sakatnya.

Inilah malapetaka kita. Inilah Nakba orang Melayu. Inilah malapetaka dan Nakba yang telah menimpa anak semua bangsa di Malaysia ini.

Semenjak malapetaka ini sampai, hampir setengah kurun yang lampau, orang Melayu telah dibodoh-bodohkan. Orang Melayu telah digula-gulakan. Orang Melayu telah ditakut-takutkan. Ya ampun, inilah malapetaka. Inilah Nakba.

Adalah hendak dijadikan cerita, hamba hanyalah tok perawi yang membawa kisah dari mulut tuan yang empunya ceritera. Dapatlah hamba diberitahu bahawa telah ramailah rakyat seluruh negeri ingin berhimpun kepalang peri.

Telah terdengar kisah yang amat ngeri tentang orang ditipu ketika mengundi. Diketahui umum seluruh negeri duit dipakai untuk membeli undi. Maka marahlah rakyat seluruh negeri kerana selama ini mereka ditipu dalam pilihan raya setiap kali.

Maka nujum dan pawang pun dipanggil datang untuk menetapkan tarikh dan ketika. Memilih saat memilih masa ketika bulan tidak mengambang.

Ketika matahari condong ke batang. Ketika panas mula menghilang. Hari-hari terus dihitung dan dibilang. Hari yang baik dan bulan yang baik diikat dengan saat dan ketika.

Saat itulah saat gembira. Saat yang hendaknya rakyat seluruh negara akan turun beramai-ramai ke jalan raya agar kita semua dapat bercempera. Hari yang bersih disalut oleh hati yang bersih.

Bila berita pecah terbuka. Maka menyingalah Najib mukanya marah mukanya berpuaka. Najib pun lantanglah menjerit bersuara. Ke hulu ke hilir membawa berita.

Najib mengarahkan adinda sepupu agar tangkas bersiap sedia kerana rakyat telah berani bangun bergegak gempita.

Maka dirancangkah satu rancangan. Maka disusunlah satu susunan. Maka dikumpulkanlah soldadu upahan. Lalu dipanggil para pemikir. Maka gerombolan pun bekerja dan berpakat seperti biasalah. Menggunakan cara lama yang telah biasa.

Pemikir dan soldadu mendapat upah, mendapat imbuhan. Sepakatlah mereka bersatu pendapat. Rakyat yang telah mula berani bangun wajib ditakut-takutkan. Rakyat yang mula sedar ini perlu dibodoh-bodohkan.

Mengikut orang dalam yang empunya berita semua saluran media telah diberitahu tentang akan munculnya satu berita yang paling baru. Mengikut tuan yang empunya ceritera dikatakan pada suatu malam yang gelap gelita ada seorang mamat masuk ke pusat kota. Datang membawa bom dan segala bentuk senjata.

Adalah mengikut surah ini si mamat ini bangang lagilah bodoh bukan kepalang. Datang membawa senjata memakai topeng, mukanya pula disapu arang. Memakai baju dan seluar yang compang lagi camping hinggakan nampak perut terbarai dan buntut tersadai.

Si mamat ini disurahkan hendak menyimpan semua senjata ini ditempat yang sulit. Bukan di celah kangkang atau di dalam parit tetapi ditepi busut, di sebalah kedai Kentucky tak jauh dari tempat mat pet berjual beli.

Seantero negara seluruh negeri diberitahu bahaya datang kepalang peri. Senjata menunggu masa dan ketika untuk meletup sendiri. Parang dan bom ini menunggu isyarat untuk terbang melayang-layang memenggal leher ibu dan abang.

Tidak cukup dengan kisah bom dan parang di tepi Sogo, datang pula kesah seorang mamat sudah tertangkap. Bukan di rumah dan bukan di kebun.

Bukan di Kerinchi, bukan di Pandan tetapi di Keramat yang jauh tidak jauh dari jalan. Tempat terletak di sebelah kuil Cina. Mengikut kisahnya, si mamat ini sedang berusaha menanam parang, bom dan senjata.

Wahai adik abang dan kakak, biar hamba kisahkan lagi. Inilah cara, inilah gaya, inilah teknik, inilah strategi untuk menakut-nakutkan rakyat seluruh negeri agar jangan berani turun ke jalan raya.

Adalah bom, adalah parang dipasang sendiri oleh soldadu upahan. Adalah jelas adalah nyata tidak ada sesiapa turun ke jalan raya bersih membawa senjata.

Inilah tipu, inilah helah. Inilah rupa kerja manusia yang di waktu siangnya dia menipu, di waktu malamnya dia menjarah. Biarlah di sini hamba memanjangkan surah. Wahai abang- abang dan kakak-kakak, sila lihat, sila perhatikan gambar parang dan gambar molotov.

Aduhai bodohlah SB yang makan upah. Aduhai SB yang membeli parang. Ushalah sikit. Jangan beli parang dari kedai yang sama. Nampak sangat malas bekerja. Serumpun macam baru dibeli borong dari Kedai Aked Mara di Kuala Kangsar.

Tidak cukup dengan ini, tipu helah gerombolan terbongkarlah sudah. Hendak menipu pun kita wajib pandai di sekolah. Tanyalah lebai Google dari rumah orang sebelah. Nak tahu tentang molotov cocktail, carilah surah.

Bangang terserlah mengarahkan SB membuat molotov memakai botol plastik yang salah. Kenapalah bangang wahai menteri Hishamudin. Molotov cocktail perlu botol kaca. Botol plastik tempat menyimpan kencing sehingga haring.

Aduhai segala hamba Allah, berita yang dirancang oleh gerombolan semua menjadi berita salah. Kenapalah tidak difikir dan tidak ikut usrah. Kenapa penutup botol plastik semuanya warna merah jambu macam kain tudung sang puteri.

Apakah otak, apakah yang salah. Adalah SB bangang atau tak cukup kena tarbiah. Hamba yang menjadi tok perawi kini jadi serba salah. Nak menangis pun ada, nak tersenyum pun salah.

Tidak cukup dengan ini, seantero negeri pun mula diberitahu tentang Jepun akan datang menyerang. Macam Belanda sampai di Melaka. Kereta perisai dibawa keluar. Helikopter berlegar liar. Jalan di kawal siang dan malam. Bas di tahan kereta diperiksa.

Kad pengenalan wajib ada. Beg di buka kereta digeledah macam anjing mencari dadah. Inilah sahaja satu kaedah untuk menakut-nakut rakyat yang sudah bijak bermadah.

Maka akan tercatitlah dalam sejarah tentang tentera yang akan dibawa keluar. Telah didengar khabar berita bagaimana ada jeneral, ada yang mula berkata, tugas tentera bukan untuk gerombolan. Bukan untuk membunuh rakyat, orang kampung, sanak saudara, sahabat dan taulan.

Mengikut tuan yang empunya ceritera, apabila Najib diberitahu duduk perkara. Dia pun gelabah tak tentu hala. Kejap nak jumpa Bersih, kejap berjanji memberi Stadium Negara. Najib berdolak. Najib berdalik. Perangai tak ubah semacam kera yang tercabut ekor di Tasek Bera.

Hambo sebagai tok perawi tidak mahu berlagak sombong. Hamba hanya berniat nak menyambung cerita. Ibu bapa, adik dan kakak jangan senyum, tapi ketawalah terbahak-bahak. Hamba nak royak kisah kumpulan Perkasa yang bukan main ribut melahak-lahak.

Bingar bising macam halilintar membelah busut. Beribu anggota akan dijemput. Untuk membuat onar dan bikin kelam kabut. Rakyat terdengar rakyat lalu rakyat pun menyahut.

Semua mula berkata: "Kami tak takut."

Auta Perkasa sudah terserlah. Maka geng silat pula masuk mencelah. Ini lagi lawak hinggakan kita ketawa mata terbeliak. Jangan menuduh hamba ini tok perawai yang berat sebelah. Tapi inilah hakikat cerita yang telah menjadi sejarah kita.

Perkasa lesap hilang entah ke mana muntah kedarah. Geng silat ramai yang datang tetapi sudah tersalah. Perhimpunan Bersih di Kuala Lumpur tetapi geng silat semua berkumpul di Kuala Pilah. Mereka berzikir, berkelintau memukau, akhirnya ghaib hilang ke negeri entah berentah.

Maka tinggal Pemuda Patriot Berbaju Merah. Hamba diberitahu mereka semua datang kerana makan upah. Apabila tak ramai yang datang berkumpul maka menantu ayah menjadi gelabah. Lalu Mat Bangladesh diberi upah pakai baju merah.

Tak cukup dengan Mat Bangladesh, si Patriot menghina diri lagi. Demonstrasi belum lagi selesai, mereka semua sudah masuk ke dalam kedai Kentuki.

Kepada cucu-cicit yang akan datang zaman berzaman, marilah kita belajar dari alkisah ini. Hendaknya kisah ini akan turun temurunlah. Hendaknya disurahkanlah dari mulut ke mulut, dari laman ke laman, dari blog ke blog, dari Twitter ke Twitter.

Di akhirnya, ini hamba sebagai tok pewaris ingin mengundur diri. Hamba di sini merakam sejarah untuk anak segala bangsa. Nakba dan malapetka tidak akan kita tangisi. Rakyat sudah berani bangun untuk melawan.

Dengarlah wahai yang zalim dan wahai yang jahat; kita saentero negara tidak akan lagi takut. Datanglah taufan, datanglah Perkasa, datanglah silat, datanglah Patriot.

Semua ini hanya kentut-kentut hangat. Setelah malapetaka busuk ini, pergi Bersih akan menyusun lagi. Kalau lapan tuntutan tidak apa-apa, Bersih akan turun ke jalan sekali lagi.

- Tok Perawi *Hishamuddin Rais* -

23 Mei 2011

Mata siapa yang tidak pernah menangis




Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu
dan menyebarkan risalah bertajuk "Jalan-jalan Syurga" dan beberapa karya Islamik yang lain.

Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat
dingin dan hujan mulai turun.

Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan seraya berkata "Ayah! Saya dah bersedia"

Ayahnya terkejut dan berkata "Bersedia untuk apa?". "Ayah bukankah ini masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah"

"Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat"

"Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika hujan turun"

Ayahnya menambah "Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca sebegini"

Dengan merintih anaknya merayu "Benarkan saya pergi ayah?"

Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada anaknya "Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!"

"Terima kasih Ayah" Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu.

Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan
risalah itu kepada penghuninya.

Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah "Jalan-jalan Syurga" ada pada tangannya. DIa berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih
ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal.

Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak itu di
rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuk pula pintu itu namun
sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi, mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil
keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya pintu rumah itu dibuka.

Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an. Mukanya suram dan sedih. "Nak, apa yang makcik boleh bantu?"

Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.
"Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya
hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling bertuah". Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.

"Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu" dalam nada yang lembut

Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya "Ada sesiapa nak
menyatakan sesuatu"

Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah perempuan separuh umur itu. "Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini
yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim.
Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan dalam dunia ini" Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.

"Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap
anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba
loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi
lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi".

"Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi
ke pintu"

"Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu.
Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat". "Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan
makcik dan sentiasa memelihara makcik" itulah kata-kata yang paling indah yang saya dengar".

"Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu dan terus baca risalah itu setiap muka surat. Akhirnya kerusi dan tali yang
hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka. Aku tak perlukan itu lagi".

"Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi hamba kepada Tuhan yang satu ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini
dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada
selama-lamanya di dalam neraka"

Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula yang berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR!

Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya.

Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang
sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat.

Sabarlah Cikgu...(Sempena Hari Guru Pada 16 Mei)






Pergi ke sekolah setiap pagi, menaiki bas 2 kali sebelum sampai ke sekolah. Hendak masuk menuju ke sekolah perlu berjalan kaki lagi 1 kilometer. Kadang-kadang kerjanya adalah membuka pagar sekolah (kerana ada tugasan yang diberi sebegitu - maklumlah sekolah pun di kawasan pedalaman). Sabarlah cikgu...

Semasa Sesi Pengajaran

Sebelum memulakan pengajaran, cikgu membaca doa bersama anak murid. Diminta agar diterangkan hati, dimudahkan faham apa yang diajar dan dipelajari. Cikgu meminta anak murid agar mengutip sampah, mengemaskan kerusi dan meja agar dapat belajar dengan selesa. Begitulah setiap hari mulutnya tidak pernah diam menasihati agar sampah yang dijumpai bersepah di luar bilik darjah dan sekolah agar dibuang di dalam tong sampah. Sabarlah cikgu...
Cikgu menanda kedatangan pelajar di Buku Daftar Kehadiran Murid, ada beberapa nama yang sudah acapkali tidak hadir. Cikgu bukan tidak peduli tentang itu semua, lalu ditanya rakannya sekelas. Dijawab mereka "Si polan tu pergi CC (Cyber Cafe), swimming pool, kadang-kadang tak naik kelas dia duduk kat pondok perhentian bas". Cikgu pun menyusul ke perhentian bas sambil memujuk anak murid agar naik ke kelas. Sabarlah cikgu...
Cikgu mengajar di hadapan, anak murid bermain-main di belakang. Ada yang tidur, ada yang berbual-bual. Bila ditanya "Mana kerja rumah?". Dijawab pula "Lupa cikgu" (padahal di rumah begnya tidak pernah diperiksa dijadikan pekasam sahaja). Ibu dan ayah pula terlalu sibuk bekerja. Samada anak ke sekolah atau tidak, itu belakang kira. Yang penting sudah nampak pergi ke sekolah. Cikgu pun meneruskan pengajarannya, diberikan penjelasan dan diulang-ulang lagi apa yang telah diajar agar dapat melekat terus di hati anak muridnya.
Cikgu pun bertanya, "Faham tak? Kalau tak faham silalah bertanya, nanti cikgu ulang lagi". Anak murid pun menjawab "Faham cikgu". Tidak lama kemudian cikgu pun menyoal dari apa yang telah dipelajari, kerana beranggapan anak muridnya sudah faham apa yang diajar. Kemudian ramailah anak murid yang berdiri dan menjadi 'patung' kerana tidak dapat menjawab soalan cikgu. Hanya beberapa kerat yang membuka mulut untuk menjawab soalan. Sabarlah cikgu...
Lalu cikgu pun ingin membuat ulangkaji dengan anak muridnya lagi. Semalam cikgu dah beritahu supaya menelaah apa yang telah diajar. Hari ini cikgu ingin menyoal pula. Tetapi tidak ramai yang ingin menjawab. Bila ditanya mengapa tidak dapat menjawab soalan. Mereka menjawab "Tak tahu", "Lupa", "Jaga adik". Sabarlah cikgu..
Bukan cikgu tidak tahu, ada anak murid nakal dan pernah didenda kerana kenakalannya yang diulang berkali-kali. Cikgu bukan denda kerana suka mendenda. Tetapi kerana kasih dan sayangnya kepada anak murid. Itupun dimulakan dengan nasihat untuk dia memikirkan kembali baik dan buruknya perbuatan yang telah dilakukan dan masa hadapannya. Diberikan teguran agar membekas dalam hati. Dan dihukum sesuai dengan kesalahannya. Dan ada juga cikgu menegur kesalahan anak murid agar tidak membuat bising di dalam kelas. Semasa hendak membuka pintu kereta, kereta cikgu telah dicalar balarkan, tayar dipancitkan. Kengkadang cikgu pun ditunggu diluar untuk dipukul. Sabarlah cikgu...

Sesudah Habis Mengajar

Sebelah petangnya, apabila anak murid sudah pulang ke rumah. Cikgu masih lagi di sekolah, terkadang ada kelas tambahan untuk anak muridnya. Terkadang ada kerja untuk menyiapkan alat bantu mengajar supaya anak murid mudah faham. Terkadang tertidur sebentar kerana kelelahan.
Di rumah, kerja cikgu belum selesai lagi. Perlu menyiapkan buku persediaan mengajar, perlu memikirkan pula aktiviti tahunan yang telah diagihkan untuk disempurnakan. Kertas kerjanya, soalan bulanannya, persatuan yang dinaunginya. Cikgu pun ada suami, ada isteri, ada anak-anak untuk dibesarkan, dididik, diberi makan, dikenalkan dengan kehidupan. Setiap kali melihat buku anak murid, akan terbayang wajah mereka satu persatu. Ya, cikgu pun mendoakan juga agar anak muridnya berjaya dan menjadi orang yang berguna. Sabarlah cikgu...
Cikgu pun tidak kisah.. semasa di luar sekolah, ketika bersiar-siar. Bukan tidak pernah terserempak dengan anak muridnya. Ada yang menyapa memberi salam dan senyuman - Baguslah, ada juga yang sembunyi-sembunyi (mungkin segan kerana berpakaian menjolok mata atau telah melakukan sesuatu yang ia rasa tidak kena), ada juga yang berlalu seolah-olah cikgu tidak wujud di depan matanya (mungkin tidak nampak gamaknya). Cikgu pun tidaklah terasa sangat sebenarnya... Sabarlah cikgu...
Cikgu pun pernah mengajar anak muridnya agar tahu mengucapkan terima kasih. Apabila cikgu hendak memberikan buku kepada anak murid, ia tidak melepaskan buku tersebut kecuali setelah anak murid mengucapkan "terima kasih cikgu".
Sekadar berkongsi antara kehidupan cikgu yang tidak didedahkan, cubalah berkongsi pengalaman dengan mereka. Agar tahu perasaan dan susah payahnya di dalam mendidik anak bangsa. Kepada ustaz, ustazah, cikgu, guru dan pensyarah yang pernah mendidik diri ini... Terima kasihku ucapkan...

25 Februari 2011

Bagaimana Jika Nyawa Kita Bergantung Pada Doa Orang Lain?


Assalamualaikum & Salam Sejahtera...

Bismillahirrahmanirrahim.....
Roshaizad berusia 38 tahun mempunyai seorang isteri berusia 32 tahun yang cantik dan baik hati. Suri rumahtangga sepenuhnya. Dikurniakan dua orang anak lelaki berusia 8 dan 6 tahun. Beliau berkerja di sebuah syarikat antarabangsa sebagai maintenance engineer di samping memegang jawatan sebagai penyelia Emergency Responce Team ( ERT ) di kilangnya. Tugasnya agak sibuk dan adakalanya berkerja sehinga lewat malam dan juga di hujung minggu.
Januari 2009, beliau telah terlibat di dalam kemalangan jalanraya sewaktu ke tempat kerja pada kira-kira jam 7.30 pagi.Kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah van kilang sewaktu dia cuba memotong sebuah van kilang yang lain di sebuah selekoh di Gurun, Kedah.
Beliau telah koma selama 3 hari dan dirawat di sebuah hospital pakar selama 47 hari lagi.Saya di antara orang yang awal sampai di hospital selepas mendapat panggilan dari isterinya. Saya juga di antara orang yang pertama dilihatnya selepas beliau sedar dari koma selepas isteri dan doktor yang merawatnya.

Sewaktu beliau koma
Beliau telah didatangi oleh seorang malaikat dan mengatakan padanya usia beliau hanya tinggal 1 jam saja iaitu pada hari Ahad, jam 1.45 petang.Walau bagaimanapun Allah akan menangguhkan kematiannya sekiranya ada 50 orang yang mendoakan secara ikhlas akan panjang usianya. Beliau agak kebinggungan ketika itu.Beliau bertanyakan sudah ada berapa orangkah yang mendoakannya secara ikhlas sehingga kini. Jawab malaikat itu hanya baru 3 orang. Malaikat menunjukkan sesiapakah orang-orang itu. Dilihatnya insan itu ialah isteri beliau yang bercucuran airmata sejak hari pertama lagi beliau di hospital itu dan juga kedua anak beliau yang sedang tidur tergolek di kerusi menunggu pesakit di luar wad.
Malaikat itu juga telah memperlihatkan akan mereka yang mendoakannya iaitu kawan-kawannya termasuk saya, ahli kariah masjid yang membacakan surah yasin untuknya. Ibubapanya, ibubapa isterinya, adik beradik, sahabat handai dan rakan sepejabat. Kesemua di antara mereka telah melawatnya dan mendoakannya tetapi tidak diterima oleh Allah. Beliau bertanya kepada malaikat itu, mengapa doa mereka tidak diterima. Malaikat menjawab, tiada keikhlasan 100% di hati mereka.
Masa kian suntuk. Dia pun tidak tahu mengapa malaikat memperuntukkan masa yang begitu singkat kepadanya untuk hidup di dunia ini. Apa yang terjadi padanya kini. Dia pun kurang pasti. Malaikat terus menunggu dan melihat waktu yang kian menghampiri jam 1.45 petang.Hanya tinggal 10 minit lagi. Adalah mustahil untuk mencari 47 orang yang ikhlas mendoakan panjang usianya dalam masa sesingkat itu. Dia bertanyakan malaikat itu, adakah tuan akan mencabut nyawa sekiranya saya gagal mendapat 47 orang berkenaan, Jawan Malaikat “Ya:.
Kurang dari 1 minit, malaikat menghampirinya dan berkata, Allah mengkabulkan doa mereka yang mendoakan panjang usia anda. Anda berjaya mendapat 50 orang ikhlas yang berbuat demikian. Roshaizad bertanya, siapakah orang-orang itu. Malaikat menunjukkan mereka itu. Mereka adalah jemaah anak yatim yang baru saja menunaikan solat zohor sebentar tadi dan berdoa untuk anda. Anda pernah pergi ke rumah anak-anak yatim berkenaan pada bulan Ramadhan yang lalu dan pernah menghulurkan bantuan kewangan. Mereka telah terbaca di dalam akhbar harian berkenaan kemalangan anda dan zohor tadi mereka telah bersolat dan berdoa untuk anda. Doa ikhlas mereka diterima Allah swt. Malaikat itu kemudiannya ghaib dan tepat 1.45 petang Roshaizad tersedar dari komanya dan meraung kesedihan.
Isteri beliau yang ada di sisinya turut menangis dan juga saya. Saya sebenarnya tidak tahu pada ketika itu apa yang berlaku padanya di dalam komanya dan mengapa beliau menanggis selepas sedar dari komanya. Setelah beberapa ketika barulah cerita di atas ini diceritakan pada saya untuk tatapan anda sekelian.
Apa yang disesalkan:
1.Beliau telah mengabaikan masa santai bersama isteri dan anaknya kerana mengejar duit dan tanggungjawab kerja. Sedangkan isteri dan anak-anaknya amat sayang padanya dan doanya amat ikhlas.
2.Dia telah mengabaikan tanggungjawab sosial dengan jiran dan masyarakat sekeliling dan ini menyebabkan mereka tidak ada rasa kasih pada saya kalaupun saya mati
3.Dia telah mengabaikan dan tidak menepati janji-janji pada kawan-kawan sehingga kawan-kawannya marah padanya dan sehingga doanya tidak ikhlas. termasuk dengan saya.
4.Beliau jarang pergi masjid kecuali pada hari Jumaat dan ini menyebabkan jemaah masjid kurang mengenalinya dan menyebabkan doanya tiada keikhlasan.
5.Beliau jarang memberi sedekah dan amal jariah. Nasiblah sumbangan ke rumah anak yatim yang diberikan tempoh hari atas desakan isteri beliau.
6.Beliau jarang bertolak ansur dengan kakitangannya walaupun hal-hal yang remeh. Ini menyebabkan kakitangannya membencinya dan doa mereka juga tiada keikhlasan.
7.Beliau jarang berkunjung ke rumah adik beradik dan takut adik beradik meminjam wang dengannya. Ini menyebabkan juga tiada keikhlasan dari mereka.
8.Beliau banyak kali menyakiti hati hati ke dua ibubapanya kerana tidak menunaikan janji untuk balik ke kampung pada hari-hari tertentu lantaran kerja beliau. Ini menyebabkan ibubapanya marah. Kes ini hanya Allah yang tahu.
9.Beliau gagal menunaikan solat pada waktunya lantaran kerja beliau atau adakalanya tertinggal terus terutamanya solat Asar
10.Beliau tidak menunaikan zakat walaupun beliau memang layak berbuat demikian.
Sahabat:
Allah masih sayang pada sahabat saya ini ataupun ianya untuk memberi pengajaran pada kita melalui tulisan saya ini. Ambillah ikhtibar dari cerita ini.Sahabat saya ini masih gagal untuk mendapatkan perlindungan takaful disebabkan oleh kemalangan dan kecederaannya.
Dirikan solat tepat pada waktunya, keluarkanlah zakat. Luangkan masa bersama keluarga.Imarahkan masjid selalu. Baliklah selalu lihat wajah ibubapa kerana Allah akan memberikan pahala ke atas perbuatan kita itu. Berbaiklah dengan jiran dan kenalilah mereka.Bertolak ansurlah dengan mereka yang memerlukan. Ingat! kita akan dapat apa yang kita telah beri. Selalulah memberi.
Wallahualam.....

18 Februari 2011

Hutang


Assalamualaikum & Salam Sejahtera...


MEMBERI hutang adalah amalan yang mulia jika tujuannya untuk meringankan bebanan orang yang dalam kesusahan dan kesempitan hidup. Bukan dengan tujuan mengambil kesempatan atau faedah daripada orang-orang yang berhutang. Jika dilihat kepada konsep kemasyarakatan, memberi hutang sangat digalakkan kerana orang yang memberi hutang akan mendapat ganjaran yang istimewa di sisi Allah Subhanahu Wataala.

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya: "Sesiapa yang menghilangkan atau melapangkan suatu kesusahan seorang mukmin di antara kesusahan-kesusahannya di dunia, maka Allah akan menghilangkan atau melapangkan suatu kesusahan di antara kesusahan-kesusahannya pada Hari Kiamat. Sesiapa yang memberikan kemudahan atas orang yang dalam kesulitan, maka Allah akan memberinya kemudahan di dunia dan akhirat." (Hadis riwayat Mustaim, Abu Dawud dan Tirmidzi).

Hadis di atas jelas menunjukkan kelebihan orang yang melepaskan kesusahan orang lain termasuk memberi hutang. Berbeza halnya dengan orang yang berhutang. Berhutang adalah amalan yang tidak digalakkan oleh Islam kerana hutang itu merupakan kesusahan di malam hari dan penghinaan di siang hari. Hutang juga akan menyebabkan seseorang itu menanggung amanah yang mesti ditunaikan iaitu melunaskan hutang. Jika ketika hidupnya hutang tersebut belum dilunaskan, maka apabila dia meninggal dunia hutang tersebut hendaklah dibayar daripada harta pusaka yang ditinggalkannya sebelum dibahagi-bahagikannya kepada waris-warisnya. Demikianlah beratnya tuntutan Islam dalam kewajipan membayar hutang.





Berikut merupakan dosa org yang tidak menjelaskan hutang atau yang melengahkan hutang :

Ada beberapa ingatan daripada Rasulullah kepada mereka yang berhutang, sama ada yang suka berhutang, melambat-lambatkan pembayaran hutang atau mereka yang tidak melangsaikan hutangnya.

Rasulullah turut memberi ingatan bahawa jika seseorang itu meninggal dunia, sedangkan dia masih berhutang, dosanya tidak akan diampunkan walaupun dia mati syahid dalam peperangan.

Seseorang yang berhutang hendaklah berikhtiar dan berusaha membayar hutang yang dipinjamnya kerana hutang itu wajib dibayar. Tindakan menunda atau melewatkan pembayaran hutang dilarang kerana itu satu kezaliman.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:

“Penundaan hutang bagi mereka yang mampu adalah satu kezaliman.” (Riwayat Bukhari – 41/585)

Sementara itu, sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat Melayu ketika menurunkan jenazah dari atas rumah menuju ke tanah perkuburan, waris si mati akan mengumumkan kepada orang yang hadir supaya menuntut mana-mana hutang yang ditinggalkan si mati.

Berkaitan hutang juga, roh si mati hanya akan bebas selepas segala hutangnya dijelaskan oleh warisnya atau sesiapa yang sanggup mengambil alih untuk menjelaskan hutangnya itu seperti orang perseorangan mahupun baitulmal.


Berdosa besar bagi orang yang sengaja tidak membayar hutang. Seseorang yang suka melewat-lewatkan bayaran hutang setelah berkemampuan untuk membayar-nya, boleh mendatangkan kesan buruk dalam hidupnya bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat antaranya :

i. Hidup akan ditimpa kehinaan dan hilang maruahnya.

ii. Hidup mereka tidak akan mendapat keredhaan dan keberkatan Allah.

iii. Perbuatan mereka itu digolongkan dalam perbuatan zalim.

iv. Amalan kebajikan mereka tidak akan diterima.