01 September 2010

Nilai RM5


Assalamualaikum... hayatilah cerita ini moga dapat jadi pengajaran dan tauladan kepada kita insyaallah....

Jalan di situ berlopak-lopak besar,terhinjut-hinjut toyota ini dilambung
graviti. Ery duduk disebelah sudah berapa kali bangun tidur, dengkurnya
makin menjadi. Siaran radio sekejap berbunyi, bercampur-campur. Sekejap
radio perak, sekejap kedah mengikut lambungan kereta lagaknya.
Aku terpaksa memperlahankan kereta melalui satu perkampungan nelayan
yang kotor, beberapa budak-budak kecil dengan muka yang comot dan hingus
kering di muka berlari-lari. Seorang daripadanya tidak berseluar
langsung,geli. Ada orang tua berbasikal mengangkat tangan memberi salam. Aku menaikkan cermin kereta, melepaskan rengusan garang.
Ery sudah bangun, mengesat-ngesat mata, menggeliat kasar. Mengeluarkan
bunyi seperti kerbau. Perempuan sial, sopannya cuma didepan
jantan,tersipu-sipu dan bersimpuh malu. Hipokrit ini cuma tahu bersolek
dan berdandan bila mahu keluar, di rumah dia seperti perempuan baru
beranak,t-shirt goboh dengan kain pelekat senteng dan rambut usai
seperti orang gila, mengeluarkan bau hapak dan masam.
Ada sebuah jeti buruk disitu. Beberapa nelayan baru sampai dari laut
disambut peraih-peraih buncit. Memunggah ikan. Ery sudah separuh
menggelepar diluar meliar mata mencari Shafik, tunangnya. Aku duduk
sahaja di dalam kereta. Aku bencikan pantai hanyir seperti ini. Beberapa
gadis bertudunglabuh lalu dengan menaiki basikal dan memberi senyuman.
Aku menghempas pintu serta merta. Memang benar. Perempuan kolot seperti
mereka itu, patut dijerukkan saja di tempat busuk ini.Tolol!
Kemudian, datang seorang tua menghampiri tingkap belakang. Aku
sedikitmarah, mengetap bibir.
"Nak apa?!"
Dia terketar terkejut, sedikit berundur.
" Assalammualaikum nak, pakcik ambil upah cuci kereta.."
Dia bercakap dengan pandangan yang tumpah ke kakinya, tertib dan seperti
takut. Di tangannya ada satu baldi buruk air sabun dengan tuala koyak di
bahu. Baju kemeja kusam koyak di poket, cuma dibutang dua menampakkan
dadanya yang leper ditolak tulang selangka. Seluar hijau pudar senteng.
Tidak berkasut dengan kuku hitam dan kaki yang reput. Menjijikkan!
" Basuh sajalah, tapi, awas!! Kalau calar kereta aku,tahulah macamana
aku nak ajar kau!!"
Berkata sambil meliarkan mata pada Ery yang tengah tersengih-sengih
meramas-ramas tangan dengan tunangnya itu. Duduk pula
bersimpuh,membelai-belai rambut. Boleh pula kaki yang asyik duduk terkangkang di rumah itu di tutup rapat.
Orang tua itu tertunduk-tunduk mengucap terima kasih. Ah, miskin seperti
ini tunduk-tunduk meminta simpati, tiada maruah. Terus saja dia
menggosok satu demi satu tayar kereta. Memberus sambil terbatuk-batuk,
meludahkan kahak hijau. Pengotor, sial! Aku mengalihkan mata ke pantai.
Peraih berdekah ketawa menepuk-nepuk belakang nelayan kurus itu.
Menyerahkan beberapa ringgit. Nelayan itu tersenyum pahit.
Menyelitkannya di celahkopiah. Itulah, siapa suruh kecil-kecil tidak
mahu belajar pandai-pandai,masuk universiti dan kerja besar. Tidaklah hidup susah
seperti itu. Bodoh!!
" Sudah nak!!" Pakcik itu datang setelah 20 minit. Aku sudah malas
hendak memandangnya, dan kuhulurkan sahaja RM 5. Aku rasa itu sudah
cukup lumayan untuk fakir seperti dia. Cepat-cepatlah dia pergi. Tapi,
sebaliknya dia memegang lama duit itu. Tunduk dan menangis tersedu-sedu.
Menambahkan kerut dan mengelapmata dengan hujung kemejanya.
"Kenapa ni? Gila?!"
" Nak, seumur hidup pakcik hidup susah ini, pakcik kerja memetik
kelapa,mencuci tandas di restoran, kemudian mencuci kereta, belum pernah
pakcik terima upah sebanyak ini. Paling banyak pun hanya seringgit." Dia
bersungguh-sungguh melihat ke dalam mata aku.
Timbul pula sedikit simpati, sedikit sayu. Rasa yang tidak pernah
bertakung dalam hati keras aku selama 25 tahun ini. Dia melipat kecil
wang itu diikat simpul di dalam sapu tangan biru muda. Pergi dengan
terhinggut menangis dengan baldi buruk ke arah sekumpulan nelayan. Aku
memandangnya dengan pandangan kosong. Ini warna kemiskinan, aku tidak
pernah lihat. Aku membesar dalam hutan batu, di kota lumpur. Keras
diselaput wang kemewahan, kemudian keluar dengan segulung ijazah.
Bekerja seperti orang gila untu k duit. Biarlah,kalau aku mahu bantu,
ramai lagi diluar sana. Lupakan saja..
Ery memanggil aku dari sebuah kedai makan di situ. Hampir 10 minit aku
melayan meluat- melihat Ery yang tersipu-sipu menggagau mee dengan sudu
dan garfu. Kemudian, kelibat orang tua itu melintasi kami, menjinjing
dua beg besar hitam berisi barang. Hairan, takkanlah dengan wang RM 5
dia boleh membeli barang sebanyak itu. Mustahil. Atau dia memang ada
duit tapi,berlagak seperti fakir. Mungk in..
Dengan rasa ragu, aku menghapirinya. Dia memberi senyum lembut dan
akudengan rasa curiga bertanya terus.
" Eh, pakcik. Tadi saya bagi lima ringgit, takkan dapat beli barang
sebanyak ini?" .
Bunyinya seperti meninggi. Pakcik itu seperti terkejut.
Dia diam dan tunduk seketika. Pahit menelan air liur. Meletakkan dua beg
plastik di atas tanah, membukanya satu satu, perlahan-lahan dan
terketar.
Aku terkedu. Terkejut dan malu. Pakcik itu mengeluarkan sapu tangan tadi
dan membuka simpulannya.Wang aku tadi, masih terlipat kemas.
" Nak, pakcik tahu. Kami ini orang susah, nak. Hidup seperti najis,
dibuang dan ditolak-tolak. Kalian pekup hidung melihat kami. Ambillah
ini semula. Pakcik juga punya maruah. Kadang-kadang maruah kami lebih
tinggi dari kamu orang kaya yang hidup berpura-pura, menipu oran g. Harga
diri kami masih kuat. Bila anak menyoal pakcik seperti tadi, anak telah
memijak harga diri pakcik. Anak seperti menghukum pakcik sebagai orang
tual sial yang berpura-pura susah.Ambillah semula,nak."
Pakcik itu meletakkannya di atas tangan aku, dan aku menolak,
berkali-kali. Aku sudah menangis, meminta maaf, berkali-kali. Tidak mahu
menyentuh langsung wang itu, hingga jatuh di hujung kaki.
" Lihat, itulah tempat duit. Di tapak kaki. Duit itu perlu, tapi jangan
sampai ia lebih tinggi dari harga diri. Jangan sampai duit menjadikan
kita angkuh dan bongkak. Pakcik ke sana tadi, tempat nelayan memunggah
ikan. Pakcik kutip ikan-ikan kembung pecah perut ini yang sudah dibuang ke
tepi.Dengan bangkai busuk ini pakcik sambung hidup anak-anak pakcik,
jangan sampai kelaparan, jangan mati."
Mendatar sahaja suara orang tua itu berkisar-kisar dengan pukulan ombak.
Dia terbatuk-batuk berjalan, meninggalkan aku dengan wang lima ringgit
di hujung kaki, dua plasik berisi ikan busuk yang sudah mula dihurung
lalat.
Aku terduduk menangis semahu-mahunya. Aku mempunyai wang yang boleh
membeli segala kemewahan dunia. Cuma aku belum mampu membeli sesuatu
yang ada dalam diri orang tua itu.