29 Julai 2010

Doa



Assalamualaikum Dan Salam Sejahtera,
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Doa adalah permohonan atau pengucapan seorang hamba dilakukan secara langsung dengan Allah SWT dan setiap rintihan yang dimohon akan didengar Allah. Allah SWT tidak suka kepada umatnya yang tidak pernah memanjatkan doa kepada-Nya. Firman Allah SWT dalam surah al-A’raaf ayat 55-56:
Maksudnya: "Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang dan penuh pengharapan. Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang berbuat baik."
Ketika menjelaskan perkara yang sama, Salman al-Farisi meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
Mafhumnya: "Tidak ada yang dapat mengubah takdir selain doa, dan tidak ada yang dapat memanjangkan umur melainkan memperbanyakan amal kebajikan". (Riwayat Tirmizi)
Berdasarkan peringatan Rasulullah SAW ini, ternyata kepada kita bahawa pengaruh doa itu amat hebat sehingga ia mampu mengubah takdir Allah dan alangkah hebatnya pengaruh amal kebajikan kerana ia dapat memanjangkan umur seseorang. Di saat manusia tidak dapat lagi berbuat apa-apa, selepas habis daya usaha dan tiada sesiapa lagi yang mampu memberi bantuan yang diperlukan, ketika itu manusia akan sedar bahawa sesungguhnya kehidupan manusia tidak dapat dipisahkan daripada Allah SWT.
Kadangkala timbul pertanyaan, kita sering berdoa tetapi diyakini doa kita tidak dimakbul Allah SWT?. Seorang sahabat iaitu Saad Abi Waqas pernah meminta Rasulullah SAW agar memberinya panduan untuk mendapat doa yang makbul. Menurut Ibnu Abbas r.a, Rasulullah SAW bersabda:
Mafhumnya: " Wahai Sa'ad, makanlah makanan yang baik (lagi halal) tentu engkau menjadi orang yang makbul doanya. Sesungguhnya seorang yang pernah memasukkan sesuap makanan yang haram ke dalam perutnya, maka tidak akan dikabulkan doanya selama 40 hari. Sesiapa saja yang dagingnya tumbuh dari makanan yang haram maka nerakalah layak untuknya". (Hadith Riwayat Thabrani)
Berdasarkan besar peranan doa dalam kehidupan umat Islam, maka Islam meletakkan doa sebagai sebahagian daripada ibadah kepada Allah. Dengan demikian permohonan doa itu hendaklah mematuhi adab-adab tertentu. Berdasarkan rujukan al-Quran dan hadith, antara lain adab berdoa itu ialah:
Pertama : Suci dari hadas besar dan kecil,
Kedua : Menghadap ke arah kiblat dan dimulai dengan bacaan Surah al-Fatihah, pujian kepada Allah serta selawat kepada Nabi Muhamad SAW,
Ketiga : Berdoa dengan ikhlas, suara yang perlahan, merendah diri, mengaku kesalahan dosa yang lalu, dan yakin Allah akan mengkabulkan doa sama ada cepat atau lambat,
Keempat : Berdoa terus menerus sama ada semasa senang atau susah, dan tanpa putus asa; dan
Kelima : Tidak melampaui batas ketika berdoa iaitu berdoa untuk meminta kebinasaan, mengakibatkan keburukan atau menginginkan kejahatan sehingga boleh memutuskan silaturrahim, kerosakkan harta benda dan kezaliman sesama umat Islam.
Menurut sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud bahawa Rasulullah SAW bersabda
Mafhumnya: " Janganlah kamu sekalian berdoa untuk kebinasaan diri, kebinasaan anak-anak, dan janganlah pula berdoa untuk kebinasaan harta benda lebih-lebih lagi jika waktu doa berkebetulan dalam waktu yang mustajab".
Doa adalah senjata ghaib umat Islam untuk memohon pertolongan Allah. Terdapat tiga golongan yang doa mereka amat diterima oleh Allah bersandarkan kepada sebuah hadith Qudsi yang disampaikan oleh Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Mafhumnya: " Tiga golongan yang tidak pernah ditolak doa mereka iaitu pertama, doa orang yang berpuasa; kedua, doa pemerintah yang adil; dan ketiga, doa orang yang dizalimi, di mana doa-doa mereka terbuka luas dan Allah memberi jaminan doa mereka pasti dipenuhi". (Riwayat Tirmizi)
Dipetik daripada Khutbah Jumaat oleh JAKIM