18 Februari 2011

Hutang


Assalamualaikum & Salam Sejahtera...


MEMBERI hutang adalah amalan yang mulia jika tujuannya untuk meringankan bebanan orang yang dalam kesusahan dan kesempitan hidup. Bukan dengan tujuan mengambil kesempatan atau faedah daripada orang-orang yang berhutang. Jika dilihat kepada konsep kemasyarakatan, memberi hutang sangat digalakkan kerana orang yang memberi hutang akan mendapat ganjaran yang istimewa di sisi Allah Subhanahu Wataala.

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya: "Sesiapa yang menghilangkan atau melapangkan suatu kesusahan seorang mukmin di antara kesusahan-kesusahannya di dunia, maka Allah akan menghilangkan atau melapangkan suatu kesusahan di antara kesusahan-kesusahannya pada Hari Kiamat. Sesiapa yang memberikan kemudahan atas orang yang dalam kesulitan, maka Allah akan memberinya kemudahan di dunia dan akhirat." (Hadis riwayat Mustaim, Abu Dawud dan Tirmidzi).

Hadis di atas jelas menunjukkan kelebihan orang yang melepaskan kesusahan orang lain termasuk memberi hutang. Berbeza halnya dengan orang yang berhutang. Berhutang adalah amalan yang tidak digalakkan oleh Islam kerana hutang itu merupakan kesusahan di malam hari dan penghinaan di siang hari. Hutang juga akan menyebabkan seseorang itu menanggung amanah yang mesti ditunaikan iaitu melunaskan hutang. Jika ketika hidupnya hutang tersebut belum dilunaskan, maka apabila dia meninggal dunia hutang tersebut hendaklah dibayar daripada harta pusaka yang ditinggalkannya sebelum dibahagi-bahagikannya kepada waris-warisnya. Demikianlah beratnya tuntutan Islam dalam kewajipan membayar hutang.





Berikut merupakan dosa org yang tidak menjelaskan hutang atau yang melengahkan hutang :

Ada beberapa ingatan daripada Rasulullah kepada mereka yang berhutang, sama ada yang suka berhutang, melambat-lambatkan pembayaran hutang atau mereka yang tidak melangsaikan hutangnya.

Rasulullah turut memberi ingatan bahawa jika seseorang itu meninggal dunia, sedangkan dia masih berhutang, dosanya tidak akan diampunkan walaupun dia mati syahid dalam peperangan.

Seseorang yang berhutang hendaklah berikhtiar dan berusaha membayar hutang yang dipinjamnya kerana hutang itu wajib dibayar. Tindakan menunda atau melewatkan pembayaran hutang dilarang kerana itu satu kezaliman.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:

“Penundaan hutang bagi mereka yang mampu adalah satu kezaliman.” (Riwayat Bukhari – 41/585)

Sementara itu, sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat Melayu ketika menurunkan jenazah dari atas rumah menuju ke tanah perkuburan, waris si mati akan mengumumkan kepada orang yang hadir supaya menuntut mana-mana hutang yang ditinggalkan si mati.

Berkaitan hutang juga, roh si mati hanya akan bebas selepas segala hutangnya dijelaskan oleh warisnya atau sesiapa yang sanggup mengambil alih untuk menjelaskan hutangnya itu seperti orang perseorangan mahupun baitulmal.


Berdosa besar bagi orang yang sengaja tidak membayar hutang. Seseorang yang suka melewat-lewatkan bayaran hutang setelah berkemampuan untuk membayar-nya, boleh mendatangkan kesan buruk dalam hidupnya bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat antaranya :

i. Hidup akan ditimpa kehinaan dan hilang maruahnya.

ii. Hidup mereka tidak akan mendapat keredhaan dan keberkatan Allah.

iii. Perbuatan mereka itu digolongkan dalam perbuatan zalim.

iv. Amalan kebajikan mereka tidak akan diterima.