11 Februari 2011

Kelahiran dan Kewafatan Baginda s.a.w


Assalamualaikum & Salam Sejahtera...


Selamat menyambut Maulidurrasul pada 15.2.2011.


Nama baginda s.a.w

1. Abu Al Qasim { ayah kepada al Qassim}
2. Muhammad { yang selalu dipuji}
3. Ahmad {nama yang terdapat dalam Taurah dan Injil}

Nama julukan yang masyhur

1. Al Mahi { yang melenyapkan kekafiran}
2. Al Hasyir { Yang mengumpulkan manusia dengan kedua kakinya}
3. Al ‘Aqib { Yang terakhir, tidak ada nabi selepasnya}
4. Al Muqaffa { yang dihormati}

Nasab Baginda dari Adnan

Muhammad s.a.w bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hasyim bin Abd Manaf bin Qusay bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’ay bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin An Nadhar bin Kinanah bin Khazimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nazzar bin Ma’ad bin Adnan

Tahun kelahiran

Terdapat empat pendapat menentukan tarikh kelahiran tapi bersepakat pada bulan Rabi’ul Awal

1. 2hb Rabiul Awal
2. 8hb Rabiul Awal
3. 10hb Rabiul Awal
4. 12hb Rabiul Awal

Kisah kelahiran baginda Nabi Muhammad s.a.w

§ Mengikut pendapat yang sahih, ibu baginda Aminah binti Wahab telah mengandung dalam masa 9 bulan.

§ Berkata Ibn Al Jauzi : Aminah telah berkata ketika beliau mengandung Rasulullah s.a.w “Saya tidak merasakan saya ini sedang hamil, juga tidak merasa berat seperti yang dirasakan oleh semua wanita yang sedang hamil, namun saya merasa syak wasangka kerana haid saya tidak datang, setelah itu datanglah seseorang kepadaku pada waktuku dalam keadaan tidur dan terjaga lalu dia berkata:”apakah engkau merasakan bahawa dirimu sedang hamil? Aku menjawab: Tidak tahu. Dia berkata lagi:”sesungguhnya kamu telah mengandungkan bayi yang akan menjadi pemimpin dan nabi umat ini, waktu itu adalah hari Isnin”

§ Semasa Aminah melahirkan Nabi Muhammad s.a.w beliau telah melihat cahaya keluar dari dirinya yang dapat menyinari bumi Syam.

§ Berkata Ibn Al jauzi : Muhammad bin Sa’ad telah meriwayatkan dari segolongan ahli ilmu bahawa Aminah telah menceritakan bahawa ketika baginda s.a.w lahir baginda jatuh ke tanah dengan bersandarkan pada kedua tangannya

§ Berkata Ikrimah: Aku melihat bayi tersebut (Muhammad s.a.w) pada waktu itu matanya terbuka dan melihat ke langit.

§ Berkata Abbas bin Abdul Mutallib : Rasulullah s.a.w dilahirkan dalam keadaan telah berkhatan dan telah dipotong tali pusatnya

§ Sebelum kelahiran Nabi s.a.w api yang disembah oleh penganut agama Majusi telah terpadam dengan tiba-tiba serta gereja-gereja di sekitar tasik sawah juga turut runtuh.

§ Diceritakan bahawa iblis telah berteriak dengan empat kali teriakan :
1. Dia berteriak pada waktu Allah melaknat dan mengusirnya
2. Dia bereteriak pada waktu dihalau dan diturunkan dari Syurga
3. Dia berteriak pada waktu lahirnya Nabi Muhammad s.a.w
4. Dia berteriak ketiak surau AL Fatihah diturunkan

Kewafatan baginda s.a.w

§ PERMULAAN SAKIT.

Di hari kedua puluh sembilan (29) bulan Safar tahun kesebelas (11) hijrah, pada hari Isnin, Rasulullah berkesempatan menghadiri pengkebumian jenazah di al-Baqi'. Dipertengahan jalan sekembalinya dari al-Baqi', Baginda terasa sakit kepala, panasnya terlalu menjadi-jadi, orang yang disekeliling Baginda turut merasai kepanasannya terutama di atas kain balutan di kepala Baginda yang mulia itu.

§ MINGGU TERAKHIR

Sakit semakin memberat, membawa Rasulullah bertanya isteri-isterinya; "Di mana giliran ku besok? Di mana giliranku besok?". Semua mereka memahami tujuan Rasulullah (s.a.w) itu, justeru itu Baginda dibenarkan untuk duduk di mana-mana sahaja, dengan itu Baginda berpindah ke rumah Aisyah, Baginda berjalan di antara al-Fadlu bin al-Abbas dan Ali bin Abi Talib, sedang kepala Baginda berbungkus dengan kain, meletak kakinya selangkah demi selangkah hinggalah Baginda memasuki rumahnya, di situ Baginda menghabiskan baki umurnya yang seminggu itu.

§ LIMA HARI SEBELUM KEWAFATAN

Pada hari Rabu iaitu lima hari sebelum kewafatan, kepanasan badan Rasulullah semakin meningkat, di mana Rasulullah (s.a.w) semakin bertambah sakit dan pening-pening menyebabkan Baginda menyuruh dengan sabdanya yang bermaksud: "Curahkan ke atas ku tujuh uncang air dari berbagai telaga supaya dapat ku keluar menemui orang ramai dan aku boleh bertemu dengan mereka". Dengan itu maka yang hadir di situ membiarkan Rasulullah duduk di atas tilam kemudian mereka mencucuri air ke atas seluruh badan Rasuiullah, hingga Rasuiullah (s.a.w) berkata: "cukup, cukup".

§ EMPAT HARI SEBELUM KEWAFATAN

Di hari Khamis iaitu empat hari sebelum kewafatan, sakit Baginda semakin berat, Baginda telah meminta dengan katanya: "Tolong bawa ke mari untuk ku tulis buat kamu semua bingkisan, di mana kamu tidak akan sesat lepas itu". Walau pun nabi dalam keadaan sakit namun Baginda terus mengimami solat , hingga ke hari Khamis empat hari sebelum Baginda wafat. Di hari itu Baginda bersembahyang maghrib dengan membaca surah "al-Mursalat ".
Semasa sembahyang Isya' sakit Baginda bertambah berat, menyebabkan Baginda tidak terdaya untuk keluar ke masjid, kata Aisyah: Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Apakah orang ramai sudah sembahyang?". Kata kami: "Tidak wahai Rasulullah, mereka semua sedang menunggu tuan hamba". Kata Baginda lagi: Sediakan air di dalam talam itu". Kami pun berbuat mengikut seperti suruhan Baginda, dengan itu Baginda pun bersuci, dan bangun namun Baginda telah pitam di situ kemudian sedai bertanya pula: "Apakah orang ramai sudah bersembahyang. Kejadian pitam ini berulang kali berlaku seperti yang pertama iaitu selepas Baginda bersuci, akhirnya Baginda suruh Abu Bakr bersembahyang mengimami orang ramai.

§ SEHARI ATAU DUA HARI SEBELUM WAFAT

Di hari Sabtu atau Ahad nabi (s.a.w) merasa dirinya ringan sedikit, justeru itu Baginda keluar dengan dibantu oleh dua orang untuk bersembahyang Zohor, sedang Abu Bakr mengimami orang ramai.

§ SEHARI SEBELUM WAFAT

Pada hari Ahad iaitu sehari sebelum wafat, Rasulullah (s.a.w) memerdekakan kesemua hamba sahaya, bersedekah dengan tujuh dinar yang Baginda miliki pada ketika itu, semua senjata-senjatanya diberikan kepada kaum muslimin. Di malam berkenaan Aisyah meminjam minyak untuk menghidupkan lampu dari jirannya, baju besi Rasulullah s.a.w tergadai pada seorang Yahudi dengan tiga puluh cupak gandum.

§ HARI TERAKHIR DALAM HAYAT BAGINDA

Anas bin Malik meriwayatkan katanya: Sekalian kaum muslimin yang sedang bersolat Subuh di belakang Abu Bakr di hari Isnin itu dikejut oleh kemunculan Rasulullah dari sebelah tabir bilik Aisyah sedang jemaah bersembahyang. Baginda melihat dan memberi senyumannya, Abu
Bakr pun berundur ke belakang untuk menyertai saf di belakang, kerana beliau menyangka Rasulullah hendak keluar bersembahyang. Kata Anas lagi: Hampir-hampir sidang jemaah terpesona dengan solat mereka kerana gembira melihat Rasulullah (s.a.w) namun Baginda memberi isyarat kepada mereka supaya meneruskan sembahyang. Lepas itu Baginda melepaskan tabir dan masuk ke dalam. Selepas itu Rasulullah (s.a.w) tidak berkesempatan lagi untuk bersembahyang lima waktu yang lain. Semasa siang semakin cerah Rasulullah (s.a.w) menjemput Fatimah dan membisik kepadanya sesuatu, menyebabkan beliau menangis, lepas itu Baginda memanggil Fatimah dan membisik kepadanya sesuatu menyebabkan Fatimah tersenyum, kemudian Aisyah berkata: Kami pun bertanya apa ceritanya?. Jawab Fatimah: "Baginda membisik bahawa Allah akan menjemputnya melalui sakit yang Baginda alami ini, itulah yang membawa aku menangis, pada kali kedua Rasulullah (s.a.w) membisikkan bahawa daku ahli keluarganya yang diwafatkan Allah selepas Baginda, itulah yang menyebabkan daku tersenyum". Selain dari itu Rasulullah (s.a.w) juga memberi khabar gembira (tabsyir) kepada Fatimah bahawa beliau adalah Syayyidah Nisa' al-'Alamin (Penghulu Wanita Dunia). Fatimah melihat
beban kesakitan terlalu berat dialami oleh Rasulullah (s.a.w). Beliau berkata: "Alangkah berat siksa bapa". Jawab Rasulullah (s.a.w): "Tiada siksa lagi bagi bapamu selepas hari ini". Di saat ini Rasulullah (s.a.w) memanggil al-Hasan dan al-Husain dan Baginda mencium kedua-duanya sambil berwasiat kepada mereka berdua dengan kebaikan, kemudian Rasulullah menjemput isteri-isterinya, menasihati dan memperingatkan mereka. Kesakitan semakin bertambah, dan kesan racun yang Baginda termakan di hari Khaibar boleh dilihat, menyebabkan Rasulullah berkata: "Wahai Aisyah kini aku masih terasa sakit kesan makanan di hari Khaibar dahulu, inilah masanya aku mendapati nafas ku sesak terputus-putus kerana kesan racun itu". Rasulullah mewasiatkan orang ramai dengan sabdanya: "Solat, solat dan berbuat baiklah kepada hamba sahaya milik kamu". Baginda mengulangi ungkapan ini berkali-kali.


§ NAZAK

Saat nazak mendatangi Rasulullah (s.a.w), dan Aisyah bertindak membiarkan Rasulullah (s.a.w) bersandar kepadanya. Hal ini beliau ceritakan dengan katanya: "Sebenarnya di antara nikmat anugerah Allah ke atas ku di mana Rasulullah meninggal di rumahku, di hari giliran ku di antara dada dan leherku, dan mencantumkan di antara liur ku dan liur Baginda semasa kewafatan Baginda. Sebelum itu Abdul al-Rahman bin Abu Bakr telah masuk ke bilik beliau dengan memegang kayu suginya, dan aku membiarkan Rasulullah (s.a.w) bersandar, kulihat Rasulullah (s.a.w) memerhati ke arahnya, ku sedar bahawa Rasulullah (s.a.w) suka dan hendakkan siwak (sugi) tersebut. Justeru aku bertanya: Mahukah ku ambil untukmu Rasulullah? Rasulullah (s.a.w) pun mengangguk kepalanya, kemudian ku berikan siwak kepada Baginda, tetapi ianya keras sedikit dan ku berkata: Biarkan ku lembutkannya? Baginda menganguk kepalanya, dengan itu ku pun melembutkannya, maka Rasulullah (s.a.w) pun bersugi dengannya". Dalam satu riwayat lain bahawa Baginda bersugi dengan sepuas-puasnya, pada masa itu terdapat sebuah bijana di hadapan Rasulullah berisi air di mana Baginda memasukkan tangannya untuk menyapukan air ke mukanya sambil berkata yang bermaksud: "Sebenar kematian ini ada sakarahnya" Tidak berapa lama selepas Baginda selesai menyugi giginya, Rasulullah pun mengangkat tangannya ke langit atau jarinya diikuti dengan renungan matanya ke atas, disusuli dengan gerakan bibirnya. Aisyah telah mendengar ungkapan terakhir yang dilafazkan oleh Rasulullah (s.a.w) seperti berikut : Bersama-sama dengan mereka yang telah Engkau kurniakan dan golongan para nabi, siddiqin, syuhada' dan salihin, Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah daku dan kasihanilah daku, letakkanlah daku dengan Kekasih yang Tertinggi, Ya Allah Ya Tuhanku Kekasih yang Tertinggi. Baginda mengulangi lafaz yang terakhir sebanyak tiga kali dan tangan Baginda pun layu turun ke bawah, maka Baginda pun terus bersama Kekasih Yang Tertinggi. "Sesungguhnya kita ini bagi Allah dan sesungguhnya kepadaNya kita semua kembali". Peristiwa kewafatan Rasulullah ini berlaku ketika pagi sudah meningkat di hari Isnin dua belas (12) Rabiulawwal tahun kesebelas (11) Hijrah di waktu usia Rasulullah genap enam puluh tiga (63) tahun dan empat (4) hari.